Sesi Persekolahan 2011 Bermula

Sesi persekolahan 2011 telah pun bermula pada 3 Januari lalu. Pelajar Tingkatan 1 pula telah pun mendaftar pada 4 Januari.

Para guru SMA Al-Wosto sudah bersedia untuk memulakan tugas mereka setelah lama bercuti. Namun, bagi sesetengah guru yang terpaksa bertugas sebagai pengawas peperiksaan atau pemeriksa yang merupakan tugas yang ‘meletihkan’ minda, cuti mereka terasa cukup singkat. Tetapi, sebagai pendidik, para guru tetap komited dengan amanah yang telah diberikan.

Tahun 2011 juga hadir dengan beberapa kejutan seperti pertukaran guru yang tidak dijangkakan kehadirannya dan berita gembira dengan kejayaan para pelajar yang berjaya dalam PMR. Manakala, prestasi SMA bagi SMA Al-Wosto pula dilaporkan menurun. Itulah lumrah dunia pendidikan. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak akan diperbincangkan di sini. Insyallah akan diutarakan di blog nanti.

Seperkara lagi, untuk menyediakan bahan-bahan yang sesuai untuk blog ini pula memerlukan persediaan secukupnya. Di samping itu, ia memberikan cabaran yang berlainan bentuknya berbanding dengan tuntutan pengajaran dan pembelajaran yang merupakan ‘core business’ seorang guru. Dengan kata lain, saya mesti ‘put my house in order’ dahulu sebelum bermula dengan ‘updates’ dan bahan-bahan yang bersesuaian bagi blog SMA Al-Wosto ini. Insyallah, ini akan saya lakukan.

Apapun, selamat bertemu kembali!

 

Editor

Tiga Bulan Bulletin Wosto

Tiga bulan telah berlalu semenjak Bulletin Wosto ini dilancarkan ke dunia internet. Dari segi teknikal, jumlah posting ialah 17, dimana ia adalah dalam  6 kategori, dan antara peristiwa penting yang melanda ialah perpindahan rumah dari blospot ke wordpress. Pada masa yang sama saya terpaksa ‘learn blogging while blogging’. Maklumlah, blogging merupakan sesuatu yang baru dalam kamus hidup saya.

Diluar sana, banyak peristiwa yang berlaku. Peristiwa pembuangan bayi yang semakin berleluasa, keganasan rejim Israel yangberterusan menekan kehidupan warga Palestin dan peristiwa tumpahan minyak antara yang terbesar di dunia di Teluk Mexico. Peristiwa-peristiwa ini nampaknya berwajah gelap dan menunjukkan keadaan dunia dan umat manusia yang semakin parah. Tidak adakah di sana sejalur cahaya yang menjanjikan dunia yang lebih bertamadun? (bukan sekadar tamadun kebendaan tetapi spiritual!)

Bagaimana pula suasana di SMA Al-Wosto sendiri? Walau apapun keadaannya, seperti mana institusi-institusi pendidikan yang lain, pengajaran dan pembelajaran tetap berjalan seperti biasa. Di celah-celah urusan pembelajaran harian, peristiwa-peristiwa lain seperti yang menuntut tindakan disiplin dari sekolah terhadap pelajar-pelajar yang melanggar disiplin juga berlaku. Di satu sisi yang lain, ada juga peristiwa yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah bagi SMA Al-Wosto. Salah satunya ialah Gotong-royong Perdana di mana Pengetua telah menyatakan kekagumannya terhadap para ibu-bapa yang komited dalam membantu pihak sekolah semasa bergotong-royong dan penyertaan ibu-bapa semasa Majlis Dialog yang dijalankan selepas itu.

Selaras dengan semangat Hari Guru (Yang baru berlalu) yang bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”, saya percaya barisan guru dan pentadbir di sekolah yang kita cintai ini akan terus komited untuk mendidik warga pelajar menjadi insan cemerlang.

Minggu depan kita akan mula bercuti. harapan saya, jangan lupakan tanggungjawab sebagai pelajar. Inilah masanya untuk membaca tanpa tekanan (walaupun sebentar cuma) dan masa memotivasikan diri. Mungkin pelajar boleh mengikuti kursus-kursus dalam cuti seperti kem ibadah ataukem solat yang boleh memantapkan diri.

Oh ya! Selamat pengantin baru kepada dua orang guru SMA Al-Wosto yang akan melangsungkan perkahwinan semasa cuti ini iaitu Cikgu Fasiha Majid dan Cikgu Siti Zubaidah Mohamad Nor. Semoga berkekalan hingga ke anak cucu.

Terima kasih kerana sudi menziarahi rumah ini. Terima kasih jua kepada yang memberikan komen. Harapan saya, bantulah blog ini dengan menyumbang artikel, berita dan sebagainya. Saya telahpun membuka ruang, anda perlulah menyahut cabaran.

Bagi diri saya sebagai editor bulletin ini, insyallah, perjuangan akan tetap diteruskan.

Salam hormat. Selamat bercuti!

                                                                         Editor

Blog Buletin Wosto Telah Berpindah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung.

Pihak kami memohon maaf kerana terdapat sedikit gangguan sebelum ini kerana dalam proses memindahkan blog ini daripada Blogger yang disediakan oleh Google kepada WordPress yang disediakan oleh WordPress.com

Semua ini dilakukan kerana kami berpendapat blog sebegini lebih sesuai dijalankan melalui WordPress.com. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Walau bagaimana pun, ia tetap boleh dilayari dengan hanya menaip perkataan Buletin Wosto atau SMA Al-Wosto pada enjin carian Google. Alamat baru blog ini ialah pakngah1967.wordpress.com. Blog lama kami tidak akan diupdatekan lagi.

Selamat berkunjung ke rumah baru kami! Persembahan kami akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Editor